Kerajaan akan membentangkan satu usul tergempar di Dewan Rakyat hari ini, bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata usul itu akan menggesa Dewan Rakyat untuk mengambil ketetapan, antaranya: 

  • Mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam.
  • Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.
  • Menggesa Perhimpunan Agung PBB mengadakan Sesi Tergempar Khas di bawah Resolusi 377A(V), jika Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya. 
  • Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin merdeka dan berdaulat. 
  • Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen, khususnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.


Najib berkata, ketetapan itu bagi menzahirkan sokongan dan keprihatinan kerajaan serta rakyat terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa. 

Katanya, tindakan rejim itu juga mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan jenayah perang. 

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, semalam, Najib berkata beliau sudah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, membentangkan usul itu. 

Beliau berkata, Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin. 

Malaysia juga berasa amat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan serta-merta keganasan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza, katanya. 

Khamis lalu, Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-39 di Djibouti, mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan Israel ke atas Gaza dan menyeru campur tangan Majlis Keselamatan PBB. 

Pada mesyuarat itu, Malaysia mengecam serangan Israel dan menggesa Majlis Keselamatan PBB bertindak segera menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin. 

Saya akan membangkitkan perkara ini pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula hari ini (semalam), katanya. 

Sejak Rabu lalu, Israel melancarkan serangan dinamakan Pillar of Defence ke atas wilayah Palestin di Gaza yang kini mengorbankan lebih 40 nyawa, termasuk kanak-kanak, wanita hamil serta lebih 400 orang cedera.