Tuesday 13 November 2012

Analisis Saham: Faktor dalaman kukuh FBM KLCI


Prestasi positif Maybank dijangka tingkat sokongan pasaran tempatan

Saham mewah di Bursa Malaysia melanjutkan pembetulan bagi minggu kedua minggu lalu, diterajui oleh syarikat telekomunikasi yang mengheret FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur Composite Index (FBM KLCI) turun ke paras terendah lima minggu. 

Ia berikutan tindakan pelabur tidak memasuki pasaran kerana memantau pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) dan peralihan tampuk pemerintahan di China. 

"Maybank dijangka menyumbang kepada pemulihan selepas melaporkan pendapatan suku ketiga 2012 lebih kukuh daripada jangkaan yang berkembang 13 peratus kepada RM1.5 bilion susulan pertumbuhan dua angka dalam pendapatan faedah bersihnya"

Kemerosotan Wall Street dicetuskan tindakan sebilangan pelabur yang beralih fokus kepada halangan dan ketidaktentuan Obama mendapat kelulusan fiskal dan krisis hutang Eropah menambah sentimen kelembapan itu.

FBM KLCI kehilangan 15.05 mata, atau 0.91 peratus kepada 1,641.08 mata minggu lalu, dengan DIGI.com yang jatuh 30 sen, Axiata (-22 sen), Public Bank (-28 sen) dan Maxis (-25 sen) mewakili hampir semua kejatuhan indeks.

Dagangan harian menguncup

Jumlah purata dagangan harian menguncup kepada 1.07 bilion saham bernilai RM1.52 bilion, berbanding 1.41 bilion saham bernilai RM1.52 bilion minggu sebelumnya. 
Indeks penanda aras itu dijangka mengalami lantunan teknikal sederhana minggu ini berikutan cuti perayaan selepas kehilangan 31 mata dua minggu lalu.

Maybank dijangka menyumbang kepada pemulihan selepas melaporkan pendapatan suku ketiga 2012 lebih kukuh daripada jangkaan yang berkembang 13 peratus kepada RM1.5 bilion susulan pertumbuhan dua angka dalam pendapatan faedah bersihnya.

Prestasi perbankan antarabangsanya memainkan peranan penting dalam prestasi kukuh itu berikutan keuntungan sebelum cukainya menokok 52.2 peratus kepada RM690.9 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungannya naik 18.2 peratus kepada RM4.3 bilion atau 81 peratus daripada unjuran keuntungan setahun penuh.

Pendapatan faedah bersih kumpulan itu dan pendapatan perbankan Islam untuk tempoh berkenaan menokok 16.7 peratus atau RM1.1 bilion kepada RM8 bilion.

Pertumbuhan positif

Ini disebabkan terutama oleh pertumbuhan 12.2 peratus dalam pinjaman bersih dan pendahuluan kumpulan itu.

Sebahagian besar daripada penambahan bernilai RM801 juta daripada keuntungan sebelum cukai sembilan bulan bernilai RM5.9 bilion disumbang operasi antarabangsa.

Dengan pengukuhan pertumbuhan pendapatan dan kedudukan modal selepas melaksanakan penempatan awam 412 juta saham bulan lalu, Maybank dijangka mengekalkan pengagihan dividen yang menarik bagi 2012 dan 2013 sekitar 6.7 peratus.

Sementara itu, pengumuman data eksport September lebih baik daripada jangkaan, berkembang 2.6 peratus berbanding jangkaan penguncupan 2.9 peratus Jumaat lalu, membantu menahan kejatuhan indeks.

Pelabur menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang dijangka diumumkan Jumaat ini.

Jangkaan ramai ialah pengembangan sebanyak 4.7 peratus, lebih perlahan sedikit daripada suku kedua yang berkembang 5.4 peratus. Ia disandarkan kepada angka perdagangan lemah pada suku dikaji.

Eksport China kukuh

Faktor luaran, pertumbuhan eksport China lebih kukuh daripada jangkaan sebanyak 11.6 peratus bagi Oktober dijangka melegakan kebimbangan berhubung ekonomi yang perlahan buat sementara waktu, tetapi pelabur perlu melihat penambahbaikan nyata di Eropah bagi mengembalikan keyakinan pelabur.

Di AS, kita perlu menunggu untuk melihat sama ada Obama mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara itu selepas pemilihan semula sebagai presiden untuk penggal kedua.

Jelas sekali mengelak daripada teka-teki fiskal hujung tahun ini, apabila terma Akta Kawalan Bajet 2011 dijadualkan berkuat kuasa, akan menjadi cabaran besar Obama tahun ini bagi mengelak tekanan kemelesetan daripada terus membengkak.

Melihat dari aspek teknikal, kontrak hadapan KLCI bagi bulan spot November yang diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives Berhad susut 14.5 mata atau 0.9 peratus minggu lalu kepada 1,634.5, mengekalkan diskaun 6.6 mata kepada indeks tunai, berbanding diskaun 7.1 mata minggu sebelumnya, berikutan jualan pendek terus mendominasi pasaran hadapan.

Jajaran dagangan indeks berkembang kepada 26.54 mata minggu lalu, berbanding 23.24 mata minggu sebelumnya.

Penunjuk stochastic harian perlahan bagi FBM KLCI naik ke paras sempadan terlebih jual, mengisyaratkan potensi lantunan teknikal susulan jualan minggu lalu, tetapi penunjuk mingguan memberikan isyarat jual.

Indeks Pengukuhan Relatif (RSI) 14-hari berundur ke bacaan bearis pada 37.65, sementara RSI 14-minggu turun ke bacaan lebih lemah 54.37.

Sementara itu, arah aliran penunjuk Perbezaan Penumpuan Purata Bergerak (MACD) mencetuskan kejatuhan garisan di bawah garisan sifar selepas mencetuskan jualan minggu sebelumnya, memperkukuhkan lagi satu lagi isyarat jual pada penunjuk MACD mingguan.

Kesimpulannya, isyarat jual baru pada stochastic mingguan dan penanda MACD selepas pembetulan dua minggu mencadangkan lebih banyak kecenderungan kejatuhan bagi FBM KLCI dalam tempoh semerta.

Bagaimanapun, pembabitan pelabur terhad disebabkan cuti perayaan minggu ini dijangka mengehadkan momentum jualan pada pasaran meluas.

Lantunan semerta dijangka terhad di paras 1,655 mata, paras tertinggi pada 3 September, yang disokong kejatuhan purata gerakan 10-hari pada 1,658 mata, disusuli rekod tertinggi pada 29 Oktober sebanyak 1,679 mata.

Paras rendah minggu lalu pada 1,632 mata dijangka bertindak sebagai paras sokongan penting menghalang kelemahan lanjut.

Sokongan berikutnya dilihat pada 1,606 mata, mewakili 38.2 peratus daripada FR, dan adalah paras lindungan lebih kukuh.

No comments:

Post a Comment